24 Februari 2017 - 05:22
Myanmar Siasat Kematian Lapan Tahanan Rohingya

Pasukan keselamatan Myanmar sedang menyiasat punca kematian lapan penduduk Rohingya yang berada di dalam tahanan pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasukan keselamatan Myanmar sedang menyiasat punca kematian lapan penduduk Rohingya yang berada di dalam tahanan pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.

Kesemua mereka adalah antara beratus-ratus tahanan yang ditangkap ketika tentera menjalankan ‘operasi pembersihan’ di utara negeri Rakhine sejak empat bulan lalu selepas kumpulan militan menyerang pos sempadan polis.

Jurucakap Myanmar, Zaw Htay berkata, dua pasukan telah ditugaskan ke Maungdaw bagi menyiasat kes kematian berkenaan tanpa memberikan sebarang makumat lanjut.

“Polis telah membentuk pasu­kan penyiasatan di samping pi­hak tentera. Mereka sedang menyiasat sama ada aduan yang kami terima adalah betul atau palsu,” katanya.

Ekoran operasi pembersihan tersebut, seramai 73,000 penduduk Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyifatkan operasi berkenaan bertujuan untuk menutup pandangan masyarakat dunia mengenai ke­kejaman tentera Myanmar yang merogol dan membunuh penduduk Rohingya di Rakhine.

Menambahkan lagi dakwaan tersebut, beberapa pelarian Rohingya yang ditemu bual oleh anggota penyiasat PBB di Bangladesh menceritakan mereka pernah ditahan dan kemudian dipukul serta diseksa ketika berada dalam tahanan.

Kerajaan Myanmar telah berjanji untuk menyiasat dakwaan tersebut selepas berbulan-bulan menafikan laporan berkenaan daripada kumpulan hak asasi manusia dan media tempatan. – AFP